Tuesday, July 21, 2009

gerimis di hujung senja

Kicauan burung menggamit rindu pada kehidupannya yang lalu di kampung. Di situ, suatu masa dulu. Di situlah ia membesar, meskipun dalam kedaifan. Namun kini, Alissa bergelar seorang usahawan yang berjaya. Dia merenung jauh ke dalam bola mata anaknya, Atissa. Alissa terkenang peristiwa silam. Kenangan lalu mengimbau rasa. Detik itu, dia merupakan seorang anak yang sentiasa disisihkan oleh keluarganya. Ibunya, Kamaria bukan sahaja membencinya malah tidak pernah mencuba untuk mencurahkan kasih sayang kepadanya sejak dia memilih jurusan perniagaan di sebuah universiti tempatan suatu masa dulu. Keputusannya untuk belajar dalam negeri dan jurusan perniagaan menimbulkan tentagan hebat daripada keluarganya. Ibunya tidak pernah cuba memahami hasrat dan kehendak hati remajanya. Namun Alissa nekad, dia mesti menjadi seorang usahawan yang berjaya dan harus belajar dalam negeri. Baginya sebagai anak jati Malaysia, dia seharusnya menumpahkan bakti kepada negara. Inilah identitinya sebagai seorang anak Malaysia.

Ayahnya, Kamil sentiasa membandingkan dirinya dengan kakaknya, Narina seorang pensyarah dan abangnya, Jacky seorang jurutera. Alissa sentiasa berasa tersepit dengan keinginan dan cita – citanya dengan kemahuan keluarga. Keluarganya mahu dia menjadi seorang doktor. Tiada walau secebispun keinginan hatinya untuk menjadi seorang doktor.

Suatu hari, ibunya jatuh sakit. Dia dan ayahnya perlu mencari sejumlah wang. Alissa cuba meminta wang daripada Narina dan Jacky. Mereka enggan menolong ayah dan ibu mereka dengan memberi pelbagai alasan. “Rina, Ky takkan kamu sudah lupa siapa yang menyekolahkan kamu berdua ke luar negara. Takkan kamu mahu menjadi seperti kacang lupakan kulit. Takkan kamu berdua tak nak menolong dan membalas jasa mereka atau kamu sudah tak perlukan mereka dalam hidup kamu berdua. Sebagai abang dan kakak, kamu tak seharusnya menunjukkan contoh yang tak baik kepada Lissa. Lissa tahu, kamu hanya perlukan mereka masa kamu susah. Apabila kamu berdua sudah senang, kamu tinggalkan mereka. Lissa tak sangka, abang dan kakak yang mak dan ayah banggakan selama ini tak boleh di harap dan pentingkan diri sendiri. Selamat tinggal Rina. Selamat tinggal Ky. Kekayaan bukanlah sesuatu yang kekal. Lissa harap kamu berdua tidak akan aman selamanya,” ucap Alissa panjang lebar. “ Kamu jangan nak menuduh kami seperti orang yang tidak mempunyai hati perut. Rumah yang besar ni, Rina perlu bayar setiap bulan. Abang pula mesti menyekolahkan anak – anak abang yang memerlukan banyak duit. Yuran tuisyen lagi. Bil elektrik dan macam – macam lagi yang memerlukan wang,” bentak Ky. “Lissa tak nak tahu itu semua kerana kamu berdua yang cari pasal. Kenapa nak berhutang keliling pinggang sekiranya tak mampu? Kamu seharusnya mengukur baju di badan sendiri,” kata Alissa pedas. “Lissa, kamu jangan nak berleter di sini. Cepat, pulangkan semua duit kami sekarang. Duit yang kamu pinjam untuk beli barang – barang persediaan di universiti itu banyak. Bila kamu nak bayar ?” marah Rina. “Kamu gila, Rina. Dari mana Lissa nak cari duit kalau kamu nak duit kamu sekarang ? Bukankah Lissa sudah berjanji, Lissa akan bayar semua duit yang pinjam dari kamu sebaik sahaja Lissa tamat pengajian ?” marah Alissa. Rina dan Ky memberi mereka sebanyak dua minggu sahaja untuk melangsaikan semua hutangnya.

Sedang Alissa berjalan – jalan, Alissa melihat ramai orang mengerumi sebatang tiang. Alissa berjalan ke arah kelompok itu. Mereka yang mengerumi tiang itu ketawa berdekah – dekah. Alissa bertanya. “Apa kes ni ?” tanya Alissa selamba. “ Ada orang yang sudah nak mati tapi nak beli buah pinggang untuk mengubati dirinya,” beritahu orang itu sambil menahan ketawa. Alissa mencapai akhbar itu dan membaca setiap baris ayat di atas akhbar itu. Alissa pergi berjumpa dengan orang yang ingin membeli buah pinggang itu.

Alissa mengetuk pintu pejabat Encik Yaccob, insan yang ingin membeli buah pinggang. “Ada apa – apa yang boleh saya bantu ?” tanya Encik Yaccob. “Saya, Alissa. Saya ingin menjual buah pinggang saya. Keluarga saya sangat memerlukan wang yang banyak. Ibu saya berada di hospital untuk menjalani pembedahan. Namun, kami tidak ada wang untuk menanggung kos pembedahan ibu. Saya harap encik mempertimbangkan kata – kata saya tadi,” beritahu Alissa panjang lebar. “ Memang benar saya ingin membeli buah pinggang untuk menyelamatkan isteri kesayangan saya tapi bukankah Cik Alissa terlalu muda untuk melakukan pengorbanan sebesar ini ? Kita tak tahu apa yang berlaku kepada kita pada masa akan datang. Mengapa Cik Alissa sanggup melakukan pengorbanan sebesar ini ? Apakah wang menjadi tarikan kepada Cik Alissa ?,” terang Encik Yaccob. “Benar, tetapi dengan ini saya dapat menyelamatkan dua nyawa. Saya sangat memerlukan ibu saya. Bukankah encik juga mahu menyelamatkan isteri encik ? Kita senasib encik. Saya memerlukan wang untuk menyelamatkan ibu saya manakala encik memerlukan buah pinggang untuk menyelamatkan isteri encik,” jelas Alissa. Encik Yaccob diam. Dia berpendapat gadis yang berusia dua puluhan itu bijak berkata – kata dan pandai berhujah. Sekiranya dia mengambil gadis itu bekerja dengannya, pasti syarikatnya akan bertambah maju. Gadis itu mungkin boleh mempengaruhi pelanggannya. “ Baiklah, saya setuju. Cik Alissa terlalu bijak dalam berkata – kata. Adakah Cik Alissa seorang mahasisiwi ?” tanya Encik Yaccob. “ Ya, dalam bidang perniagaan,” jawab Alissa sambil tersenyum.

Tanpa pengetahuan ahli keluarganya, Alissa telah menjual buah pinggangnya. Hasil jualan itu dia telah membayar kos pembedahan ibunya. Ketika Alissa cuba menjelaskan kesemua hutangnya kepada Rina dan Ky, mereka berdua menuduh Alissa telah mengedar dadah. Hati Alissa hancur remuk. Sanggup mereka menuduh begitu kepada seorang insan yang bergelar adik sebegitu rupa tanpa bertanya dari manakah adiknya memperolehi wang sebanyak itu. Apabila ibunya, Kamaria sembuh, Rina dan Ky memberitahu bahawa mereka telah mengeluarkan semua wang simpanan mereka untuk menyelamatkan nyawa ibunya itu. Nama Alissa diburuk – burukkan. Rina dan Ky semakin disayangi oleh Kamaria dan Kamil manakala Alissa semakin diketepikan. Kehidupannya dirumah usang itu semakin menekan jiwanya untuk memberontak. Kadang – kadang dia terfikir untuk melarikan diri dari rumah itu. Apabila memikirkan tiada sesiapa yang akan menjaga ibu dan bapanya, hasrat hatinya itu terpaksa dipendam jauh di lubuk hati.

Suatu hari, Kamaria memaksa Alissa supaya memberhentikan pengajiannya. Alissa menjadi sangat terkejut. Rina dan Ky telah menghasut ibu dan bapanya untuk mengahwinkan Alissa dengan seorang yang kaya untuk meringankan beban ibu dan bapanya serta dengan alasan mereka sudah tidak mampu untuk menganggung perbelanjaan Alissa. Oleh sebab Alissa enggan untuk berkahwin, Rina dan Ky telah berpakat untuk memerangkap Alissa. Haiqal, sahabat baik Ky, seorang pemuda awal tiga puluhan yang sudah bertunang telah diperguna untuk menjayakan rancangan jahat Rina dan Ky. Apabila semua penghuni rumah usang itu keluar kecuali Alissa, Haiqal telah di suruh untuk pergi menghantar keperluan dapur kepada ibu Ky. Haiqal menurut sahaja arahan Ky tanpa mengetahui rancangan jahat sahabat baiknya itu. Haiqal sangat berang kepada Ky apabila Haiqal dan Alissa ditangkap khalwat. Alissa dipaksa kahwin. Apabila malam perkahwinan menjelang, Alissa cuba melarikan diri. Dalam perjalanan yang tanpa hala tuju itu, Alissa terserempak dengan Encik Yaccob secara kebetulan. Alissa menceritakan segala peristiwa yang berlaku kepada dirinya apabila Encik Yaccob bertanyakan mengenai dirinya. Encik Yaccob berasa sangat sedih dan simpati terhadap nasib Alissa yang malang itu. Dia membawa Alissa ke rumahnya. Dia memperkenalkan Alissa, insan yang telah menyelamatkan nyawa isterinya itu kepada isterinya. Encik Yaccob dan sekeluarga tidak tahu bagaimana harus dia dan isterinya membalas jasa baik Alissa. “Cik Alissa, bolehkah saya mengambil cik sebagai anak kami memandang kami tidak mempunyai anak ?” tanya Encik Yaccob. Alissa terkejut. Dia kaget. Kejutan apakah ini ? Hati Alissa berkata – kata. Alissa memandang wajah isteri Encik Yaccob, Sazia yang kelihatan mengharap suatu jawapan yang positif dari bibir Alissa yang cantik itu. Alissa mengangguk dan tersenyum. Sazia menarik tangan Alissa dan membawa Alissa ke sebuah bilik yang sudah sekian lama kosong dan tidak pernah dihuni.

Kehidupan baru Alissa membuatkan Alissa bertambah matang dalam mengharungi liku – liku hidup yang penuh dengan cabaran. Alissa berkahwin dengan sahabatnya, Aizab untuk memenuhi impian Sazia, ibu angkatnya. Warna – warna ceria terus menyelubungi hidup Alissa. Suatu petang yang dingin, Alissa dikejutkan dengan suatu panggilan yang mengatakan Encik Yaccob dan Sazia telah terlibat dalam suatu kemalangan jalan raya yang telah meragut nyawa mereka. Alissa bergegas ke hospital. Alissa merasakan hidupnya kini sudah tidak bermakna. Selepas pengebumian Encik Yaccob dan Sazia, Alissa termenung mengingat kembali kebaikan Encik Yaccob dan Sazia. Alissa sangat terharu terhadap kebaikan mereka yang telah mewasiatkan semua harta mereka kepada Alissa. Alissa menguruskan syarikat Encik Yaccob dengan penuh bijaksana untuk membalas jasa Encik Yaccob dan isterinya.

Beberapa bulan selepas itu, Rina dan Ky meminta bantuan daripada Alissa kerana anak mereka memerlukan wang yang banyak untuk meneruskan pengajian. Mereka mengetahui kejayaan Alissa dalam dunia keusahawanan apabila wajah Alissa terpampang di muka akhbar. Mereka meminta maaf kepada Alissa kerana telah banyak menghancurkan hati Alissa. Mereka juga mahu Alissa pulang untuk melawat ibunya yang sakit kuat dan ingin meminta maaf di atas dosa yang ibunya telah lakukan terhadap Alissa suatu masa dulu. Alissa membalas dengan jawapan sinis kepada mereka. Alissa membangkitkan kembali sejarah silamnya. Aizab menasihati Alissa agar memaafkan mereka dan pulang untuk melawat ibunya yang sakit itu. Setelah puas dipujuk akhirnya, hati Alissa menjadi lembut juga. Mereka bertolak pada petang itu juga. Kamaria dan Kamil menangis sebaik sahaja Alissa selamat tiba di halaman runahnya. Aizab memimpin tangan Alissa ketika Alissa ingin memasuki rumah usang itu yang mempunyai bilangan anak tangga yang banyak kerana pada waktu itu Alissa sedang mengandung. Kamaria dan Kamil meminta maaf berkali - kali kepada Alissa kerana membenci dan menyisihkan Alissa selama ini. Kamaria mengucapkan terima kasih kepada Alissa kerana pengorbanannya yang besar ketika menjual buah pinggangnya. Doktor yang merawatnya memberitahu akan hal itu. Kamaria menyesali perbuatannya menghina Alissa suatu masa lalu. Dengan suara tersekat – sekat, Kamaria sekali lagi memohon maaf. Dia berasa tindakannya membenci Alissa hanya kerana Alissa belajar dalam negeri dan ingin menjadi seorang usahawan berlawan dengan kehendak hatinya yang ingin Alissa menjadi seorang doktor dan belajar di luar negeri adalah tidak wajar sama sekali. Alissa mengenggam erat tangan ibunya yang semakin lama semakin pucat. Setelah mengucap, Kamaria memejamkan matanya secara perlahan – lahan.

Setelah beberapa tahun, ayahnya mengikuti jejak arwah ibunya. Anaknya, Atissa menjadi penawar hatinya ketika kesepian setelah Aizab bertugas di luar negeri. Hubungan Alissa, Rina dan Ky semakin rapat.

Suara manja anaknya, Atissa mengembalikannya ke dunia realiti. “Mama….?” tanya Atissa tidak mengerti apakah yang bermain di kotak fikiran ibunya. Tanpa disedari, air mata Alissa mengalir. Semua nostalgia lama itu disimpan jauh di sudut hati. Alissa membuat keputusan untuk tinggal di luar negeri mengikut suaminya.

No comments:

Post a Comment