Friday, July 24, 2009

kasih tersepit di dua persimpangan

Kicauan burung menggamit rindu pada kehidupannya yang lalu di kampung. Di situ, suatu masa dulu. Di situlah ia membesar, meskipun dalam kedaifan. Namun kini, Arqash bergelar seorang usahawan yang berjaya. Dia merenung jauh ke dalam bola mata anaknya, Alissa. Arqash terkenang peristiwa silam. Kenangan lalu mengimbau rasa. Detik itu, dia dan adiknya, Daniey masih dalam kehijauan dalam mengharungi jalan – jalan kehidupan ini. Rumah usang pusaka arwah ayah mereka hampir menyembah bumi. Setelah meningkat remaja, Arqash semakin mengerti kesusahan yang dialami ibunya untuk mencari sesuap nasi. Dia merasakan kini tiba masanya untuknya pula membalas pengorbanan ibunya. Dia nekad, penderitaan ibunya harus berakhir. Dia nekad untuk berhijrah ke bandar dan mencari apa jua pekerjaan yang mampu dilakukannya. Dia menyuarakan hasrat murninya itu kepada Mak Tiah, ibunya.

“ Mak, Qash nak bekerja di bandar, mak. Qash mahu mengubah hidup kita, mak. Qash tak sanggup hidup sebegini susah lagi dan tak mahu dengar ejekan dari kawan – kawan Daniey. Qash nak dia terus bersekolah dan melihat dia berjaya… bukannya seperti Qash. ……… hanya setakat SRP sahaja,” ujar Arqash perlahan kepada ibunya sewaktu ibunya berehat di anjung rumah. “ Arqash…….., mak tak benarkan kau ke sana. Lagipun, apa pekerjaan yang dapat kau buat di bandar tu ? Di kampung ini banyak lagi pekerjaan yang kau dapat lakukan,” tegas ibunya. “ Mak…. ,” rintih Arqash. Mak Tiah tahu niat anaknya itu ikhlas untuk meringankan bebannya tetapi dia tidak sanggup kehilangan seorang lagi ahli keluarga setelah kematian suaminya, tiga tahun yang lalu akibat kemalangan di tempat kerja. Arqash tekad. Dia mesti memberitahu hasratnya kepada ibunya sekali lagi, buat kali kedua. Dia berharap agar hati ibunya lembut untuk membenarkan dia berhijrah ke sana.“ Mak, benarkanlah Qash berhijrah ke bandar. Qash perlu ke sana untuk mengubah taraf hidup kita. Mak lihat sahaja perlakuan jiran – jiran kita, mereka tak pernah menegur mahupun bertanya khabar. Inikan pula nak bergaul dengan kita. Mereka tidak memandang kita sekiranya kita miskin harta mak. Malah sebelah matapun tidak. Mereka memulaukan kita, mak. Mereka hanya mementingkan wang ringgit, mak,” pujuk Arqash lembut.“ Tak perlulah, Qash. Biarlah mereka macam tu asalkan kita bahagia cukuplah, nak. Asal kita mempunyai adab sopan dan budi bahasa, mereka tetap menghormati kita,” balas ibunya. “Mak, ini zaman sekarang wang adalah segalanya. Maruah digadai dan harga diri di jual semata – mata kerana wang ringgit, mak. Tanpa wang kita tak dapat hidup. Adab dan budi bahasa sudah tak dipandang lagi sekarang,” balas Arqash pula. “ Qash, sebenarnya…… mak berat hati nak membenarkan kau ke bandar. Tapi, kalau kau dah kata macam tu, mak tak boleh kata apa – apa lagi. Pergilah, nak. Tapi kau mesti ingat, apabila kau sudah senang nanti jangan jadi seperti kacang lupakan kulit mahupun si Tanggang. Berjanjilah nak, kau jaga perlakuan di bandar dan jangan sombong,” ujar Mak Tiah sambil menyeka titisan jernih yang menuruni di cerun – cerun pipinya yang sudah bergaris seribu. “ Baiklah, mak. Qash janji. Terima kasih, mak,” balas Arqash lalu memeluk ibunya.

Keesokkannya, Arqash berhijrah di bandar. Di bandar, dia bersusah – payah mencari pekerjaan. Akhirnya, dia bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran yang terkemuka. Separuh dari hasil gajinya dihantar kepada ibunya dikampung, manakala separuh lagi untuknya membayar sewa rumah dan keperluan lain. Tuah ayam tampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu. Suatu hari, Arqash membantu seorang tokoh korporat yang terkenal, Datuk Asyraf yang kerosakan kereta. Dia membantu memperbaiki kereta Datuk Asyraf. Seminggu selepas itu, Datuk Asyraf datang ke restoran itu dan tertarik melihat cara Arqash bekerja lalu segera memanggilnya.

“ Waiter, please come here,” panggil Datuk Asyraf.

“ Yes, is there anything need my help ? Sorry, I not really good in speaking. But this is the ruler if I want to work here,” terang Arqash tanpa dipinta.

“ It’s alright. Saya hanya mahu berbincang dengan encik. Jemput duduk,” pelawa Datuk Asyraf.

“ Err….. what… what,” Arqash tergagap – gagap. Dia sedar bahawa dia masih belum dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

“Maaflah encik.Saya tak berapa pandai English. Ada apa, encik ?” soal Arqash.

“ Enciklah yang membantu saya tempoh hari kan ?” soal Datuk Asyraf pula.

“ Em… ya, tapi kenapa ? Encik ni siapa ? Apa salah yang telah saya lakukan ?” balas Arqash panik lalu berdiri.

“ Encik jangan panik. Saya cuma bertanya. Saya Datuk Asyraf. Silakan duduk. Siapa nama encik ?” soal Datuk Asyraf.

“ Arqash Shahrizam. Panggil saja Arqash.”

“ Sebenarnya, saya mahu mengambil awak bekerja sebagai staff di syarikat saya. Saya harap Arqash dapat memberikan jawapan yang positif,” ujar Datuk Asyraf mengharap.

“ Baiklah, datuk. Tapi, saya tak pandai menggunakan komputer. Malah tak pernah menyentuhnya,” ujar Arqash jujur sambil ketawa kecil.

Datuk Asyraf tersenyum lalu berkata, “ itu tak menjadi masalah, asalkan kamu setuju, selesai semuanya.”

“ Baiklah, saya setuju. Tapi, saya ada satu soalan. Kenapa datuk mempelawa saya bekerja di syarikat datuk sedangkan datuk tidak kenal saya ?” soal Arqash.

“ Arqash, itu rezeki awak. Baiklah, sekejap lagi, saya akan uruskan soal kerja awak di sini dan kemasukan awak ke syarikat saya. Saya minta diri. Fikirkanlah tentang tawaran saya tadi,” kata Datuk Asyraf.

“ Baiklah, terima kasih datuk.”

Selepas dua tahun bekerja di syarikat Datuk Asyraf, akhirnya Arqash dinaikkan pangkat dan mengambil alih syarikat lalu terpaksa berkahwin dengan Dalila, anak Datuk Asyraf. Dalila seorang perempuan yang cantik tetapi kuat cemburu. Sekiranya dia mahu terus kekal di syarikat itu, dia mesti mengahwini Dalila. Disebabkan sentiasa dilimpahi dengan kemewahan wang ringgit, Dalila menjadi seorang yang ego dan tidak tahu menghormati orang tua. Ibu mertuanya hanya dianggap sebagai beban kepada keluarganya. Dia tidak pernah menghormati apatah lagi menyayangi ibu tua itu. Baginya, Mak Tiah orang kampung yang bodoh dan kolot. Dalila telah menghasut dan menyuruh Arqash melupakan Mak Tiah dan mengugut untuk berpisah dengannya sekiranya Arqash masih ambil berat mengenai diri Mak Tiah. Arqash dilema dan tertekan. Perasaan sayang antara ibu dan isteri menyebabkan dirinya tertekan. Dia merasakan tanpa Dalila dia tidak dapat mewarisi segala harta peninggalan arwah mentuanya, Datuk Asyraf. Perkara terkandung di dalam surat perjanjian di mana, dia akan kehilangan segala hartanya sekiranya menceraikan Dalila. Perasaan kasih dan sayang akan ibunya cuba di pendam dan di simpan kemas di sudut hatinya. Namun dia tidak sanggup berpisah dengan isteri kesayangan, Dalila. Oleh itu, dia telah cuba untuk melupakan ibunya dan segala kenangan pahit manis ketika mereka bersama, tetapi dia tidak boleh melakukannya. Pelbagai onar dan duri telah banyak mereka lalui bersama. Baginya, ibu yang tua itu telah banyak menabur jasa, mengerah keringat dan bermandikan hujan dan panas untuk membesarkannya dan adiknya serta merupakan orang yang paling disayangi selain Dalila.

Suatu hari, ibunya sakit kuat dan sentiasa menyebut nama Arqash. Daniey menelefon abangnya lantas memberitahu keadaan ibunya. Daniey mahu abangnya segera pulang ke kampung tetapi Dalila telah menghalangnya. Arqash dan Dalila bergaduh mengenai hal itu. Tiba – tiba, Arqash menerima panggilan kecemasan dari setiausahanya, Rina, yang memerlukan Arqash dengan segera atau akan kehilangan projek meganya yang bernilai RM 200 juta sekiranya tidak menghadiri mesyuarat itu. Arqash sekali lagi tertekan dan dilema. Mana lebih penting, nyawa seorang ibu yang melahirkan dan membesarkannya ataupun projek meganya ? Dalila mendesak suaminya agar menghadiri mesyuarat itu. Arqash tidak memberi sebarang jawapan tetapi menyoal, “ Kalau abang ke sana, macammana pula dengan mak ?”.“ Abang tak perlu bimbang, biar Dalila menjenguk mak di kampung. Abang pergi menghadiri mesyuarat tu, ya,” pujuk Dalila sambil membetulkan tali leher Arqash.

Arqash berasa gembira dan terharu kerana menyangka isterinya sudah mula menyayangi ibunya. Dia segera bertolak ke pejabat. Sementara itu, Dalila sendiri memandu untuk ke kampung suaminya. Di kampung, Dalila menunjukkan rasa kurang senangnya terhadap persekitaran rumah ibu mertuanya. Daniey meluat melihat perangai kakak iparnya itu.

“ Kak Lila, mana abang Arqash ?” tanya Daniey selepas tidak melihat kelibat abangnya. Dalila tidak menjawab lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Daniey berasa sungguh marah dan mengekori kakak iparnya. Di dalam rumah, Dalila memarahi Mak Tiah yang sedang terlantar itu.“ Hoi, orang tua. Aku nak bagi amaran dekat kau, ye. Jangan ganggu hidup aku dan suami aku, faham ? Aku nak kau lupakan dia dan ambil duit ni,” ujar Dalila sambil melemparkan sejumlah wang ke muka ibu mertuanya. Sekali lagi Daniey terkejut dengan tindakan kakak iparnya itu. Dia mahu menampar Dalila yang sudah melangkah ke keretanya tetapi dihalang oleh Mak Tiah. Dalila tersenyum puas lalu memandu pulang ke bandar.

Di rumahnya, Arqash segera bertanya mengenai keadaan ibunya. Dia mahu menelefon Daniey, Dalila segera menghalangnya. “ Abang, tak payahlah telefon Daniey. Abang tak percaya akan saya ? Mak abang sihat tadi. Kasihan pula saya tengok Daniey. Mesti dia penat jaga mak Lagipun mak tengah sakit, tak payahlah nak ganggu,” pujuk Dalila.Arqash mempercayai kata – kata Dalila. Sebulan kemudian, Dalila asyik muntah – muntah dan Arqash membawanya ke hospital untuk pemeriksaan. Dalila disahkan mengandung. Arqash berasa sungguh gembira kerana bakal menjadi ayah. Beberapa bulan kemudian, bayi yang dikandung Dalila pun dilahirkan. Anak kecil itu diberi nama Alissa. Setelah Alissa meningkat remaja, Alissa menyuarakan sesuatu yang bermain di fikirannya selama ini.

“ Mama, boleh Alissa tanya satu soalan ?”

“ Ya, tanyalah.”

“ Mama, kawan Alissa nak pulang ke kampung ayahnya cuti semesta nanti….”

“ Habis tu ?” sampuk Dalila.

“ Papa kata papa berasal dari kampung. Apa kata cuti semesta nanti kita ke kampung papa ? Lagipun Alissa nak kenal nenek,” terang Alissa.

“ Alissa, nenek kamu sudah meninggal,” balas Dalila.

“ Tapi, papa kata nenek masih ada. Cuma atuk yang telah lama meninggal dunia,” ujar Alissa pula.

Arqash yang kebetulan lalu di situ mendengar perbualan mereka lalu memanggil Dalila.

“ Lila, kenapa awak beritahu Alissa yang mak sudah tiada ?”

“ Kenapa, tak boleh ke saya cakap macam tu ? Saya tak nak dia tahu yang mak awak yang kolot tu masih hidup,” jelas Dalila.

“ Awak ni…”

Keesokkan harinya, ketika Dalila keluar berjumpa temannya, Arqash memanggil Alissa dan menceritakan perkara sebenarnya kepada Alissa. Alissa terkejut apabila mengetahui perkara yang sebenarnya dan mengetahui yang sebenarnya dia mempunyai seorang bapa saudara yang dipanggil Pak Usu Daniey. Alissa menelefon Daniey untuk mendapatkan kepastian.

“ Hello, boleh saya bercakap dengan Daniey ?”

“ Ya, Daniey ni. Awak ni siapa ?” soal Daniey.

“ Err.. saya Alissa, pak usu, anak Arqash Shahrizam,” jawab Alissa.

“ Oh, jadi ni anak saudara pak usulah ya. Kenapa Alissa telefon pak usu ni ?” soal Daniey kehairanan.

“ Sebenarnya, saya mahukan kepastian tentang nenek. Betul ke mama cakap nenek sudah tiada tetapi papa kata nenek masih ada. Alissa kelirulah pak usu. Wajah nenek dan pak usu pun Alissa tak pernah tengok,” ujar Alissa jujur.

“ Nenek masih hidup, Alissa. Pak usu pun tak pernah tahu pun yang pak usu ada anak saudara. Tolong beritahu pada papa Alissa yang nenek sakit tenat. Nenek sentiasa menyebut nama papa,” pinta Daniey sebak.“ Sebenarnya, nenek sakit apa, pak usu ? Teruk sangatkah keadaan nenek sekarang ?” soal Alissa.“ Nenek Alissa sakit barah hati. Keadaan semakin membimbangkan. Pak usu bimbang sesuatu akan terjadi pada nenek sebelum ketibaan papa. Jadi tolong beritahu papa Alissa secepat mungkin, ya,” ujar Daniey sebelum memutuskan talian.

Selepas memutuskan talian, Alissa segera memandu ke syarikat Arqash. Disana, Alissa menemui Arqash dan menceritakan apa yang dibualkannya dengan Daniey. Dalila yang kebetulan berada di situ cuba menghalang Arqash daripada pulang ke kampung. Alissa cuba memujuk Dalila agar mengikut mereka, tetapi Dalila tidak mengaku Mak Tiah sebagai emak mertuanya. Arqash mendesak agar Dalila mengikut dia dan Alissa pulang ke kampung, tetapi Dalila berkeras. Kesabaran seseorang ada tahapnya. Arqash berasa dirinya tercabar lalu menampar Dalila dihadapan staff – staffnya yang lain. Dalila akhirnya mengikut Arqash dan Alissa pulang ke kampung.

Di kampung…..

Dalila hanya diam membatu. Alissa pula segera meluru ke arah Mak Tiah.“ Nenek, maafkan Alissa, nek. Lissa tak pernah tahu yang nenek masih hidup,” kata Alissa.“ Mak, maafkan Qash, mak. Qash terlalu ikutkan kata Dalila, mak. Mak, maafkanlah Qash, mak,” rayu Arqash sambil menangis.“ Qash, mak maafkan kau. Lagipun, kau tidak bersalah pada mak. Kamu berdua tak pernah buat salah,” ujar Mak Tiah dalam kepayahan.“ Dalila, mari sini. Baik kamu minta maaf dengan mak sebelum apa – apa terjadi,” arah Arqash.“ Ah, tak naklah, buat apa nak minta maaf dengan orang tua tu ? Buang masa saya saja, abang,” balas Dalila kasar lalu berlari keluar dari rumah.

“ Dalila……..” pekik Arqash marah.

“ Qash…..” panggil Mak Tiah.

Ketika Dalila berlari meluru keluar dari pagar, tiba – tiba sebuah kereta meluncur laju ke arah Dalila lalu melanggar Dalila.

“ Abang………..” jerit Dalila sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“ Papa….. mama…mama, papa,” kata Alissa.

“ Qash, pergilah kepada isteri kau. Dia perlukan kau….Qash,” ujar Mak Tiah dalam kepayahan.

“ Makkkkk. Tidak mak”

“Qashhh…. Pergilah nak…”

Arqash memandang sayu ke dalam bola mata ibunya. Dia melihat keikhlasan hati ibunya itu. Dia meletakkan kepala ibunya di bantal yang sudah di penuhi dengan tompok – tompok kehitaman itu. Dia berjalan dengan langkah yang longlai. Seperti orang yang telah kehabisan tenaga setelah berlari 20 km. Ketika Arqash berjalan mendapatkan isterinya, pada ketika itulah nyawa ibunya bercerai dari badan. “ Papa…nenek….,” jerit Alissa.

Arqash tergamam dan terpaku seketika. Dia tidak mampu berkata apa – apa.Dia menangis teresak – esak. Dia menjadi bungkam. Fikirannya menjadi kusut. Dia melontarkan pandangan bola matanya ke arah suatu sudut. Kelihatan beberapa kanak – kanak sedang bermain bola sepak. Mulutnya seperti ingin mengatakan sesuatu. Alissa melonggo.

“Tidak” jerit Arqash sambil mencengkam kepalanya kemas.

“Pa…..?” Alissa terkesima.

“ Alissa……”

“ ya, pa ”

“ Tiada siapa yang akan pisahkan kasih sayang kita. Pa menyesal amat,”

“Pa……” Alissa memeluk Arqash sambil menangis semahu – mahunya.

No comments:

Post a Comment